CITA-CITAKU MENJADI GURU.....

 



“TAHNIAH Cikgu Rosy. Cikgu berjaya sebagai Guru Cemerlang gred DG54”. Tulisan pesanan ringkas daripada Tuan Pengetua kutatap berkali-kali tanpa berkelip. Betulkah apa yang kulihat ini? Pesanan ringkas dari tuan pengetua Cikgu Napatah kubalas dengan pertanyaan tidak percaya.

“Betul…. Nama cikgu Rosy baru dipanggil ni. Nanti saya tolong ambilkan surat tawaran yang diberikan oleh Tuan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu”.

Memang aku dijemput untuk menghadiri satu majlis yang dihadiri oleh semua pengetua di negeri Terengganu namun aku tidak dimaklumkan tentang penyerahan surat tawaran itu, pada waktu yang sama aku berada di bilik kecemasan Hospital Kemaman kerana kakiku tidak dapat bergerak pagi itu.

Aku sering ditanya apa yang menyebabkan Cikgu Rosy mampu menjawat jawatan guru cemerlang DG54 yang begitu sukar untuk dicapai oleh guru-guru. Sesering kali itulah juga aku bermuhasabah diri apa sebenarnya yang menyebabkan laluan ku melalui guru cemerlang nampak semudah ini?

Kadang aku malu untuk berkongsi kejayaan ini kerana sebenarnya aku bukanlah seorang guru yang mempunyai impian yang tinggi untuk diriku. Mungkin ada yang berkata cita-cita itu bermula dengan impian. Hmmm.... tapi apa yang berlaku pada diriku sebaliknya. Cuma apa yang aku pasti sejak darjah satu cita-cita sebagai guru telah tercatat di buku rekod kemajuan pelajar, dan yang pasti aku cuba untuk bahagiakan ibubapaku yang pernah kukecewakan suatu hari dahulu.

“Nama kamu Rosy Mastura?” Guru tingkatan bertanya dengan menyebut namaku dengan bunyi sebutan Rosi Mastura. Aku tidak suka dengan sebutan itu.

“Nama saya Rosy Mastura. (dengan membunyikan sebutan Rozi Mastura). Ayah saya kata Rozi…bukan Rosi…….” Seluruh kelas ketawa. Tiba-tiba aku rasa malu. Terus aku menangis……..

“Ok ok cikgu panggil kamu Rosy Mastura (dengan sebutan Rozi Mastura). Asbab nama itulah aku mudah diingati oeh guru-guru dan kawan-kawan. Aku akan marah kalau ada yang salah memanggil namaku.

“Cita-cita kamu bila besar nak jadi apa?”

“Nak jadi cikgu.” Dengan yakin soalan guru kujawab.

“Kalau tak dapat jadi cikgu?”

“Kalau tak dapat jadi cikgu saya nak jadi polis.”

“Kalau tak dapat jadi polis?”

“Saya akan jadi doktor.”

Akhirnya tiga cita-cita itu tercatat di buku rekod kemajuan muridku.

Aku anak kampung antara yang terawal dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Aku anak pertama dalam keluargaku yang membanggakan ayah dan ibuku. Sanak saudara menjadikan keluargaku sebagai idola di atas kejayaanku.

Tamat tingkatan 5 aku melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara(ITM). Kalau sekarang dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara(UITM). Walaupun telah belajar di tahun akhir namun jauh di sudut hati, cita-cita pertama yang tercatat di darjah satu masih menjadi impianku. Secara senyap-senyap aku memohon kursus perguruan di Maktab Perguruan.

“Bak…..(panggilanku untuk ayahku), mek(panggilan manjaku di rumah) dapat temuduga guru. Boleh tak bak datang ambil di asrama minggu depan?” Dengan perasaan takut aku cuba menelefon ayahku.

“Apa????????Sebab apa mohon cikgu lagi????dah tahun akhir tu. Habiskanlah. Nanti boleh buat perundangan. Jangan pergi temuduga tu.” Suara bak yang garang menjadikan kata noktah. Tidak. Aku terpaksa redha dengan kehendak ayah. Sambil air mata mengalir laju,  kututup kembali surat tawaran walaupun telah melihat perkara yang perlu disediakan seperti salinan sijil yang disahkan bersama bacaan 7 buah buku. Kulalui hari-hari seterusnya dengan sayu……

Sehinggalah pada satu pagi yang hening ……….“Perhatian kepada Rosy Mastura, sila ke pintu pagar utama, keluarga sedang menunggu”. Masya Allah…. Ayahku datang. Ada apa hal ye pagi pagi ni? Aku berlari sekuat hati menghampiri ayah dengan debar.

“Kenapa bak datang? Kenapa pagi sangat ni”. Tangan ayah kucium mesra dengan seribu debaran.

“ Ma, ada apa ye?” Kualihkan pertanyaan kepada ibuku setelah pertanyaan kepada ayahku tidak berjawab.

“Cepat siap, pergi temuduga.” Suara ayah tiba-tiba memecahkan sunyi. Aku tergamam dengan kata-kata ayah.

“Apa????? Temuduga? Bukan semudah itu bak…..sijil sijil perlu disahkan, Kena baca 7 buku.

” Jelasku dalam getaran.

“ Ala….takpelah. Ambil pengalaman je…..” Kata ayahku dalam tawa. Aku keliru.....ini bukan waktu untuk bergurau tapi aku tidak mampu membantah kata ayah.

Sijil-sijil dibuat Salinan dalam perjalanan ke tempat temuduga di Kuala Terengganu. Perjalanan dari Dungun kurasakan amat panjang sekali. Dalam fikiran, apa yang akan ditanya dan apa yang akan dijawab. Tanpa sedar air mataku mengalir memikirkan temuduga impianku akan kuharungi tanpa ada sebarang persediaan.

Melihat persediaan calon-calon dengan fail tebal dan pakaian yang hebat menampakkan kredibiliti seorang guru. Aku terasa begitu kerdil sekali.

“Rosy Mastura Binti Yahya, sila masuk” Panggilan namaku mengejutkan aku. Lamunanku terhenti.... Hafalan beberapa perkara penting mula memenuhi kepalaku.

Dengan langkah berhati-hati ku hampiri pintu bilik temuduga. Dengan mendakap sekeping sampul surat berisi salinan sijil, aku membuka pintu dengan berhati-hati, senyuman dilemparkan kepada semua penemuduga. Pesanan ibu kuingat sampai kini, senyum pembuka segalanya. Salam kuberi dengan tertib. Salinan sijil kuberikan kepada seorang penemuduga.

Tiba-tiba..... dammmm......bunyi hempasan sampul surat berisi sijil-sijil memecahkan kesunyian bilik itu. Jantungku berdegup kencang. Dunia kurasakan tidak lagi kuberpijak diatasnya. Kukumpulkan kekuatan dengan menyerahkan segalanya kepada Allah untuk tidak berharap dengan permohonan ini.

“Begini persediaan kamu untuk jadi seorang guru? Kenapa salinan tidak disahkan” banyak lagi persoalan yang ditanya tetapi tidak memberi peluang kepada aku untuk menjawabnya. Aku mula menggiggil.....

Seorang penemuduga yang lain persilakan aku duduk. Cuba tenteramkan aku yang sudah mula menangis. Air mata laju menuruni pipiku tanpa dapat dibendung lagi. Dia rasionalkan aku sebagai bakal seorang guru, aku telah menunjukkan sisi yang tidak baik. Seorang guru seharusnya seorang yang bersedia dengan tugasan yang diberi.  Banyak kata-kata penyuntik motivasi diberikan untuk mententeramkan aku.

“Rosy Mastura” suara penemuduga yang marahkan aku tadi bersuara lagi. “Sila bangkang atau beri alasan yang kukuh yang dapat menyanggah tanggapan kami kepada kamu.” Kali ini air mataku mengalir deras kembali.

“Tuan-tuan sekelian, saya tidak salahkan tuan-tuan atas penilaian ini terhadap saya. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui kasih saya pada profesyen sebagai seorang guru. Saya memang minat menjadi seorang guru. Itulah cita-cita saya sejak kecil. Saya bukanlah seorang yang ambil mudah dengan sesuatu tetapi apakan daya saya terpaksa mengikuti kehendak ayah.” Panjang lebar kuceritakan sebab yang menyebabkan aku tidak dapat membuat persediaan untuk temuduga ini.

“Rosy Mastura.....saya dapat merasakan jiwa kamu sebagai seorang guru. Sekiranya tawaran ini diberi kepada kamu adakah kamu setuju, dan bagaimana dengan ayah kamu? Betulkah apa yang kudengar ini? Ya Allah......kata-kata penemuduga itu amat bermakna sekali padaku walaupun aku tahu ianya tidak akan berlaku.

Akhirnya......di semester ke 6 di ITM, aku mendapat surat tawaran mengikuti Sijil Perguruan Asas di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim. Alhamdulillah akhirnya ayah sedar dengan minat yang mendalam aku kepada bidang perguruan. Kepada penemuduga, kepada ayah, janjiku sekiranya aku menjadi guru, aku tidak akan menjadi guru yang biasa sahaja. Peluang ini amat mahal bagiku......Guru, adalah anugerah terindah dalam hidupku.

Previous Post Next Post