SURAT TERBUKA UNTUK ANAK MURIDKU......SPM DAH DEKAT



 Anak-anak murid cikgu yang cikgu sayangi....

Bila cikgu melihat keputusan ujian kamu, ada yang cikgu rasa sedih, ada yang cikgu rasa bangga, cikgu tertanya-tanya apa perasaan kamu sebenarnya sekarang ye....peperiksaan SPM dah tak lama. Adakah kamu telah membuat persiapan yang sepatutnya. Apa yang patut kamu lakukan sekarang? 

Kamu perlu tenangkan diri. Ingat Allah ada bersama kita sentiasa. Kita yang selalu jauh dari Allah. Luahkan apa yang terbuku di hati kamu kepada Allah. Dan percayalah "Kun Fayakun". Apa-apa yang Allah ingin sesuatu itu berlaku, jadilah ia". Setiap kali ingin mulakan study, mohon dengan Allah bantu kamu. Ketenangan perlu dicari. Cari punca apa yang menyebabkan kamu tidak tenang. Mungkin kamu tidak tenang sebab memikirkan harapan ibubapa kepada kamu yang tinggi. Mungkin kamu sudah belajar sehabis baik tetapi bila menjawab soalan kamu tidak dapat menjawab dengan baik. Mungkin kamu berdebar setiap kali guru bertanyakan soalan takut tidak dapat menjawab. Mungkin kamu tidak tenang memikirkan subjek-subjek yang masih gagal. Mungkin kamu tidak tenang memikirkan apa akan jadi kepada kamu apabila kamu tidak lulus atau result kamu kurang baik nanti. Mungkin kamu tidak tenang sebab memikirkan kenapa kamu tidak sehebat abang atau kakak kamu. Mungkin kamu tidak tenang memikirkan kamu anak yang sulung yang seharusnya menjadi contoh terbaik kepada adik adik yang lain.

Kesayangan cikgu semua.....cikgu nak kamu faham, Allah telah merancang yang terbaik untuk kita. Apa-apa yang berlaku semuanya adalah perancangan yang terbaik dari Allah. Apa yang berlaku kepada kita adalah ujian Allah untuk kita tangani menggunakan akal kita. Sebagai contoh, kamu dah belajar sehabis baik, kamu masih tidak dapat keputusan yang cemerlang, percayalah ada perancangan terbaik Allah untuk kamu. Mungkin Allah tak mahu kamu rasa kamu terlalu bagus untuk elakkan perasaan riak kamu sekarang, Allah mungkin nak kamu nikmati erti kejayaan dengan usaha dan doa dari kamu yang bersungguh-sungguh. Allah maha mengetahui. Mungkin Allah sudah siapkan untuk kamu menjadi penjaga ibubapa nanti yang darjat kamu tinggi di sisi Allah. Yang penting, kamu hendaklah berusaha sehabis baik, sebarang keputusan serahkan kepada Allah. Kadang bila kita mohon dengan Allah, walaupun masa dah di saat akhir, mungkin apa yang kamu baca itulah yang keluar bila exam nanti. Sentiasa bersangka baik dengan Allah.

Cikgu amat percaya...... anak yang baik, anak murid yang baik, akan ada rezeki yang hebat di depan menanti. Percayalah. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Mohon keampunan kepada ibubapa, mohon doa daripada mereka kerana sememangnya doa ibubapa paling afdhal. Mohon maaf kepada guru, mohon guru halalkan ilmu yang mereka berikan, Mohon maaf dengan kawan-kawan, mohon kawan-kawan turut doakan kejayaan kamu, mungkin ada doa dalam kalangan mereka yang Allah angkat doanya.

Cikgu doakan kamu dikurniakan kekuatan untuk belajar, menghadiri kelas tambahan, membuat latih tubi soalan-soalan dan dapat menghadiri peperiksaan dalam keadaan sihat fizikal dan mental seterusnya dapat menjawab dengan baik dan mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SPM nanti.

Cikgu dah maafkan kamu semua, cikgu juga mohon maaf atas kekurangan mengajar kamu, cikgu halalkan segala ilmu yang cikgu berikan.

Cikgu sayang kamu semua. Be strong. Selamat mengulangkaji pelajaran dengan hati yang tenang.


Cikgu Rosy

7 Januari 2023


Previous Post Next Post